KUCHING: Dalam usaha membangunkan kawasan Parlimen Petra Jaya, bidang pendidikan antara tumpuan utama difokuskan oleh Ahli Parlimennya, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Menurutnya, dalam mengejar kemajuan sekarang, pencapaian pendidikan anak-anak perlu selari dengan kecanggihan teknologi masa kini supaya mereka tidak ketinggalan.
Oleh itu katanya, semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK), surau dan agensi-agensi lain supaya membantu anak-anak dengan mengadakan kelas tambahan atau bimbingan dan sebagainya.
“Kelas-kelas bimbingan itu nanti boleh diadakan di dewan masyarakat atau tempat yang sesuai untuk membantu meningkatkan pencapaian pembelajaran anak-anak kita.
“Mungkin ada anak-anak tidak dapat mengulang kaji pelajaran di rumah kerana suasananya dan
bilangan ahli keluarga yang ramai, maka mereka tidak dapat fokus.
“Maka, mereka ini perlu dibimbing dan jika ada cadangan daripada NGO mahupun JKKK dan sebagainya, saya sedia membantu,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Kembali Ke Sekolah anjuran Jawatankuasa Surau, JKKK dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) serta perasmian Taman Kanak-Kanak Kampung Semariang Baru Fasa Tiga di Surau Darul Falah, kampung itu.
Fadillah yang juga Menteri Kanan Kerja Raya berkata, kaedah pelaksanaan boleh menggunakan khidmat guru-guru, tenaga pengajar institut pengajian tinggi (IPT) atau graduan universiti mungkin mereka mahu berkhidmat semula dengan masyarakat.
“Pembangunan pendidikan menjadi tumpuan utama saya, jadi saya mengharapkan kumpulan ini sama-sama membantu memajukan pencapaian pendidikan di kawasan ini,” katanya.
Sumber dari : Jiwa Bakti